Terkini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 tengah hari. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia hari ini, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Perkara tersebut disahkan oleh Bernama yang menghubungi anak saudara Allahyarham.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memaklumkan perkara berkenaan menerusi akaun twitternya.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tan Sri Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah.

"Jasa Allahyarham kpd Sarawak amat besar, Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Perdana Menteri.




Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, kira-kira pukul 1.20 petang tadi.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada satu sidang akhbar di Kuching petang tadi berkata jenazah Ketua Menteri Sarawak itu akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak Petra Jaya 10 pagi esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 10.30 pagi.

Selain itu turut diumumkan, tujuh hari tempoh berkabung dan bendera dikibar separuh tiang untuk seluruh negeri Sarawak.

Esok turut diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri Sarawak.

Abang Johari turut memaklumkan Ketua Menteri Sarawak itu meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jantung.

Allahyarham menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb, 2014.

Adenan telah membawa Barisan Nasional mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, 2016.


Sumber: www.astroawani.com

Tiada ulasan