Terkini

Gempa: Semua pelajar Malaysia di Medan selamat


JAKARTA: Semua pelajar Malaysia dilaporkan selamat selepas gempa bumi 5.6 magnitud menggegarkan Medan di Sumatera Utara, kira-kira 7.20 malam waktu tempatan.


Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Amizal Fadzli Rajali, ketika dihubungi BERNAMA berkata, gempa itu sememangnya dirasai kuat dan gegarannya berlaku dalam beberapa saat sahaja.

"Pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kejadian buruk berlaku dan tiada bangunan yang rosak manakala para pelajar kita ketika dihubungi pula menyatakan mereka berada dalam keadaan tenang dan selamat," katanya.

Media-media dalam talian melaporkan orang ramai yang berada di pusat beli belah dan hotel bertingkat tinggi di Kota Medan panik dengan gegaran itu dan bertempiaran lari keluar dari bangunan.

Ada 1,100 orang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti di Sumatera Utara.

Menurut laporan Badan Meteorlogi, Klimatologi dan Geofisika (BKMG) gempa itu berlaku dua kali pada kedalaman 10 kilometer dalam laut berdekatan Deliserdang di Sumatera Utara.

Gempa pertama 3.9 magnitud berlaku pada 7.13 malam diikuti gempa kedua 5.6 magnitud.

Gempa itu dirasakan di beberapa daerah termasuk Medan, Deliserdang, Binjai dan Karo serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang.

Sementara itu, di MANJUNG: Penduduk di sekitar daerah ini turut merasai gegaran selama 10 saat akibat gempa bumi itu.

Dalam kejadian jam 8.40 malam, penduduk sekitar Manjung, Lumut dan pekan Pulau Pangkor terkejut apabila mendapati rumah mereka bergegar.

Seorang penduduk, Zulinda Ramly, berkata ketika itu dia sedang melipat kain di ruang tamu dan menyedari rumahnya bergegar dan berasa seperti pening.

"Saya ingatkan kepala pening kerana rasa seolah-olah bergoyang, namun kemudian tahu ia disebabkan gempa kerana pernah melalui pengalaman sama ketika tsunami dahulu," katanya di sini, malam ini.

Di GEORGETOWN: Beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang turut merasai kesan gegaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam, penduduk pangsapuri di Jelutong, Batu Feringghi, Gelugor, Bayan Lepas dan Seberang Jaya terkejut apabila kediaman mereka berasa bergegar.

Suri rumah, Siti Fatimah Abu Backer, 51, berkata dia sedang menyediakan hidangan makan malam apabila berasa lampu dapurnya bergoyang.

"Pada mulanya saya berasa seperti mahu pitam, tetapi apabila suami memaklumkan turut merasai gegaran baru kami sedar rumah bergoyang sedikit.

"Gegaran cuma berlaku kira-kira 30 saat dan kebanyakan penduduk dapat merasainya menyebabkan ada yang keluar dari rumah masing-masing," katanya yang menetap di pangsapuri di Jelutong.

Di KUALA LUMPUR: Gegaran turut dirasai mereka yang berada Sri Hartamas, Kota Damansara dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Seorang pekerja swasta, Zulkiflie Aminuddin, 25, berkata pada awalnya dia menyangka diserang migrain apabila tiba-tiba terasa pening ketika sedang berehat di rumahnya di tingka 18, Kondominium Kiaramas Sutera, di sini.

"Ketika mahu ke dapur, langkah saya agak tidak stabil dan saya berasa pening, ...saya ingatkan migrain tetapi ia hanya dalam 10 saat sahaja," katanya kepada BERNAMA.

Sumber : www.bharian.com.my

Tiada ulasan